Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Majlis Perasmian Level Up Kuala Lumpur 2025

9 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berhormat Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong

Timbalan Menteri Digital

2. Yang Berusaha Tuan Anuar Fariz Fadzil

Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC

Tetamu kehormat, rakan kongsi, penaja dan peneraju industri yang dihormati,

Warga komuniti permainan digital, para pengamal media,

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Salam Perpaduan, Salam Malaysia MADANI dan selamat pagi kepada semua.

1. Selamat datang ke LEVEL UP KL 2025, persidangan pembangun permainan digital terulung di Asia Tenggara. Tahun ini, memasuki edisi ke-11, kita berkumpul untuk menonjolkan kekuatan Malaysia dan meraikan komuniti yang semakin berkembang — kreativiti luar biasa bakat tempatan kita serta pencapaian bertaraf dunia yang telah meletakkan Malaysia di peta pembangunan permainan global.

2. Sepanjang tiga hari akan datang, misi kita jelas: mempertemukan pemain tempatan dan antarabangsa, menghubungkan idea dengan peluang, serta membentuk masa depan pembangunan permainan di rantau Asia Tenggara.

KELEBIHAN KREATIF MALAYSIA

3. Malaysia kini bukan lagi sekadar peserta dalam industri permainan dan kandungan kreatif global — kita merupakan hab serantau. Ekosistem kita berkembang pesat dengan studio bertaraf dunia, pembangun yang berwawasan, dan ekonomi kreatif yang menarik perhatian antarabangsa. Daripada judul blockbuster hingga permainan indie, daripada e-sukan hingga penceritaan imersif, Malaysia sedang membentuk masa depan hiburan digital.

4. Izinkan saya menjelaskan peranan kami: Kementerian Digital ditubuhkan pada tahun 2023 dengan tujuan yang teguh — memacu transformasi digital Malaysia dan memperkukuh daya saing negara di peringkat global. Matlamat kami berpandangan jauh ke hadapan; menjelang tahun 2030, ekonomi digital dijangka menyumbang 30% kepada KDNK Malaysia.

MERAI KEJAYAAN, MEMUPUK KERJASAMA

5. Sektor permainan digital merupakan antara industri kreatif paling dinamik di Malaysia — memacu eksport, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, dan mengukuhkan reputasi negara di peringkat global. Sepanjang tahun-tahun penganjurannya, LEVEL UP KL telah menjadi landasan kejayaan bagi syarikat pembangunan permainan tempatan.

6. Antara contoh yang membanggakan ialah Les’ Copaque Production, yang bekerjasama dengan Streamline Studios melancarkan Upin & Ipin Universe pada Julai 2025 — sebuah permainan pengembaraan dunia terbuka yang penuh warna, diinspirasikan oleh budaya Asia Tenggara dan siri animasi kesayangan ramai. Les’ Copaque Production dikenali sebagai perintis dalam industri animasi 3D Malaysia, dengan lebih 60 anugerah dimenangi di peringkat tempatan dan antarabangsa. Langkah berani mereka menembusi dunia permainan menandakan babak baharu dalam penceritaan interaktif, membawa warisan Malaysia ke khalayak global melalui pengalaman digital yang imersif.

7. Menambah kepada momentum ini ialah Gigabash oleh Passion Republic — sebuah judul yang telah menawan perhatian pemain di seluruh dunia dan dinobatkan sebagai Best In Play Winner di Game Developers Conference 2022 di San Francisco. Passion Republic turut diiktiraf sebagai salah satu studio pembangunan permainan terkemuka Malaysia, terkenal dengan sumbangan mereka terhadap judul blockbuster global seperti Elden Ring, The Last of Us, dan Spider-Man.

8. Kita juga meraikan kejayaan No Straight Roads oleh Metronomik, yang digambarkan oleh Forbes sebagai “antara permainan terbaik tahun 2020”, dipuji kerana elemen humor, arah seni, dan gaya permainan yang inovatif. Metronomik merupakan penerima Geran Kandungan Digital MDEC pada tahun 2018 dan kini disokong di bawah Program Digital Game Testbed. Mereka juga sedang bekerjasama dengan Shueisha Games dari Jepun untuk pembangunan No Straight Roads 2. Kerjasama ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap bakat tempatan kita.

9. Begitu juga dengan Magnus Games Studio, pencipta permainan Re:Legend, yang turut bekerjasama dengan Shueisha Games dalam pembangunan IP global baharu bertajuk Project Survival. Judul sulung mereka, Re:Legend, pernah menjadi projek Kickstarter paling berjaya di Asia Tenggara dan menduduki tempat pertama secara global di platform Steam pada tahun 2019.

10. Untuk makluman, Shueisha Games ialah rumah penerbitan ikonik di sebalik manga legenda seperti Dragon Ball Z dan Naruto, yang membawa pengiktirafan global serta sinergi kreatif dalam kerjasama ini. Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

11.Pakatan strategik sebegini bukan sahaja mengangkat kedudukan Malaysia dalam industri permainan global, malah mencerminkan sinergi kreatif serta keyakinan antarabangsa terhadap studio tempatan kita. Syarikat permainan digital Malaysia bukan sekadar bersedia untuk pentas dunia — kita sudah pun bersinar di atasnya.

12. Namun, di sebalik peluang besar, datang juga cabarannya: kreativiti sahaja tidak memadai untuk membawa kita jauh. Dalam dunia yang saling berhubung ini, kerjasama adalah mata wang kejayaan. Untuk bersaing di peringkat global, ASEAN perlu bersatu — berkongsi bakat, sumber dan platform bagi memperkukuh impak kolektif kita.

13. Marilah kita manfaatkan peluang di LEVEL UP KL ini untuk berinteraksi, belajar, berkongsi ilmu dan bertukar pandangan. Gunakan platform ini untuk meneroka trend-trend masa depan melalui sesi ucaptama dan panel bersama pemimpin pemikiran dari seluruh dunia.

PERINTIS DALAM KALANGAN KITA

14. Tahun ini, kami bawakan yang terbaik dalam industri — perintis seperti Dan Bunting, tenaga kreatif di sebalik fenomena global Call of Duty, yang kini memacu gelombang inovasi baharu melalui 1AM Gaming. Turut hadir ialah tokoh visioner Henk Rogers, individu yang mengubah Tetris menjadi ikon budaya dunia dan terus meneroka sempadan baharu teknologi.

15.Pemimpin-pemimpin ini mengingatkan kita akan satu hakikat mudah: idea berani, apabila digabungkan dengan semangat yang tidak pernah luntur, mampu mengubah dunia.

16.Kami turut mengalu-alukan kehadiran para delegasi dari lebih 20 negara, termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat, Sepanyol, Brazil, Arab Saudi, Sweden, Kanada, Pakistan, Taiwan dan United Kingdom — dengan lebih daripada 2,500 peserta dijangka menghadiri persidangan, pameran dan sesi pameran karya. Bersama-sama, kita sedang membentuk masa depan ekonomi kreatif ASEAN, dengan hasil yang dijangkakan termasuk:

A. RM150 juta peluang eksport,

B. 350 sesi pertemuan perniagaan, dan

C. 70 pempamer yang mengambil bahagian dari seluruh dunia.

MEMBINA ASAS UNTUK INOVASI

17. Infrastruktur digital negara kini berkembang pesat. Dengan liputan 5G di seluruh negara, para pembangun kini mempunyai akses kepada persekitaran berkelajuan tinggi dan kependaman rendah yang diperlukan untuk permainan berbilang pemain, berasaskan awan, dan masa nyata. Ini membuka sempadan baharu bagi pengalaman digital yang lebih imersif dan saling berhubung secara sosial.

18. Namun, infrastruktur sahaja tidak mencukupi — ia mesti disokong oleh bakat dan dasar yang kondusif.

19.Kerajaan, melalui MDEC, telah melancarkan program insentif bernilai RM15 juta bagi memperkasa kandungan digital tempatan seperti permainan, animasi dan teknologi kreatif. Inisiatif ini bertujuan membantu studio mencipta harta intelek (IP) asal, meningkatkan kapasiti pengeluaran, dan bersaing di peringkat global.

20.Antara inisiatif tersebut ialah Program Digital Games Testbed (DGTP) dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta bagi membantu studio Malaysia membangunkan genre permainan baharu dan bekerjasama dengan rakan antarabangsa. Program ini menumpukan kepada inovasi, penerbitan bersama, dan perkongsian ilmu, sekali gus memposisikan Malaysia sebagai hab serantau bagi pembangunan permainan digital.

21. Inisiatif-inisiatif ini melangkaui usaha membangunkan industri — ia adalah tentang memperkasa para pencipta, memacu inovasi, dan memastikan Malaysia mendapat tempat yang sewajarnya dalam ekonomi digital global. 22. LEVEL UP KL ialah tempat di mana kemajuan nasional bertemu aspirasi serantau. Ia menjadi ruang untuk para pembangun berhubung dengan penerbit, tempat di mana idea bertukar menjadi prototaip, dan di sinilah komuniti permainan digital Asia Tenggara menemukan suara bersama mereka.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan,

23. Masa depan permainan digital bukan hanya tentang teknologi — ia tentang manusia. Ia tentang cerita yang membentuk siapa kita, komuniti yang kita bina, dan peluang yang kita cipta untuk generasi akan datang.

24. Malaysia sudah bersedia. Bersedia untuk berinovasi, memimpin dan memberi inspirasi. Jadi, marilah kita ‘level up’ bersama-sama dan membentuk masa depan digital di mana kreativiti tidak mengenal batas.

Terima kasih.

#TAMAT#


07102025_TEKS UCAPAN_MAJLIS PERASMIAN LEVEL UP KUALA LUMPUR 2025.pdf

0.14MB

07102025_SPEECH_LEVEL UP KUALA LUMPUR 2025.pdf

0.22MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025